BUKIT GELUGOR : Sebanyak 17 pusat mengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 38,055 pemilih berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu. Parlimen Bukit Gelugor mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Terubong, Air Itam dan Seri Delima. Terdapat tiga pusat mengundi di DUN Paya Terubong, lapan pusat di DUN Air Itam dan enam di DUN Seri Delima.

spr1

Antara pusat mengundi itu ialah Sekoleh Jenis Kebangsaan Kong Min (Cawangan 2) Jalan Paya Terubong, Sekolah Kebangsaan Air Itam, Sekolah Kebangsaan Seri Aman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamid Khan dan SMK Datuk Haji Mohamad Nor Ahmad. Semua pusat pengundian akan ditutup 5 petang ini dan pengiraan undi dijangka bermula 6 petang di pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Sri Pinang.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan saingan empat penjuru antara calon DAP Ramkarpal Singh, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon Bebas Mohd Nabi Bux Mohd Abdul Sathar serta Abu Backer Sidek Mohammad Zan. Bagaimanapun, kesemua calon tidak mengundi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas. Pada pilihan raya umum lepas, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal Ahmad dilapor menjangka peratusan yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor hari ini sekitar 78%. Keputusan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dijangka diketahui seawal pukul 8 malam ini.