Archive

Posts Tagged ‘mb selangor’

14 ADUN PAS TAK NAK WAN AZIZAH

August 24, 2014 Leave a comment

wan_azizah ngangis

13 ADUN PAS Selangor masih enggan menandatangani sokongan secara hitam putih kepada calon menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hal ini merumitkan PKR yang mahu memastikan kesemua 43 ADUN Pakatan di Selangor menyatakan kesetiaan kepada presiden PKR itu.

Kami dimaklumkan bahawa hal ini merupakan agenda utama mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Perbincangan tersebut bagaimanapun masih belum menemukan sebarang penyelesaian, kata seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan.

Beliau mengakui bahawa PAS dalam mesyuarat semalam tidak bersetuju memberi sokongan pada Wan Azizah melalui melalui pengakuan berkanun.

Difahamkan, para pemimpin pimpinan Pusat PAS tidak bersetuju untuk menandatangani sokongan mereka kerana ia “bukanlah salah satu persetujuan dalam perbincangan sebelum ini.”

Oleh yang demikian, satu lagi mesyuarat akan diadakan “dalam masa terdekat” bagi mendapat sokongan tersebut dalam bentuk hitam putih, katanya.

Advertisements

BEKAS SETPOL USTAZ AZIZAN BOGELKAN @RAFIZIRAMLI

August 3, 2014 Leave a comment
PKR_PRESS_CONFERENCE_RAFIZI-RAMLI-150414_TMINAJJUA_04
Saya tak berhasrat membuka pekung atau mengungkit. Tapi bila Saifudin dan Rafizi mula mengungkitkan stand mulia PKR di Kedah tentang kerusi MB, saya terpanggil untuk menyatakan bahawa perbandingan situasi Selangor- Kedah itu tidak wajar. PKR tidak berada dalam kondisi yang wajar untuk berbicara siapa patut jadi MB pada masa itu atas banyak faktor, bukan kerana mereka gentleman, mulia atau baik hati.

Hari-hari dalam tahun 2008-2010 di Kedah selepas PRU-12 dulu adalah hari membilang kerusi. MB akan bertanya hampir setiap hari dan dia turut mengepak jari jemarinya satu persatu… Berapa lagilah kerusi DUN yang PR ada?

Di mana Rafizi, Saifuddin dan tokoh-tokoh besar PKR yang minta PAS contohi sikap PKR di Kedah dalam isu MB Selangor sekarang, pada masa kerusi kena dibilang setiap hari pada masa itu itu?

Tempoh itu adalah waktu-waktu getir PAS Kedah menghadapi karenah PKR, menjaga maruah PKR, maruah PR dan maruah kerajaan supaya jangan tumbang di tengah jalan. Adun-adun PKR Kedah melompat, merancang melompat, menjual diri dan kerusi, memakan cengkeram untuk menyeberang.

Kerusi DUN PKR asalnya 5 tinggal 3, itupun setelah berjaya melepasi cabaran PRK Bukit Selambau. Kerusi Parlimen hilang dua, Padang Serai dan Kulim. Masa itu Rafizi dan Saifuddin ada di mana?

Sorang Adun yang kuat menahan diri daripada memakan umpan supaya melompat, menghadapi kes kahwin kali kedua tidak register pulak…lalu jadi senjata musuh untuk mengugutnya supaya menukar kem. Akhirnya DSAI arahkan dia meletak semua jawatan, walaupun Ustaz Azizan berpendapat cukuplah kalau lepaskan jawatan exco sahaja.

DSAI tetap mahukan dia letak semua jawatan, hilangkan diri seketika, menyebabkan PR terpaksa hadapi PRK Bukit Selambau. Daripada hari pertama melarikan dia daripada satu komplot BN yang bersiap membawanya ke Putrajaya, hinggalah dia pulang dari India, saya terpaksa menguruskan segala-galanya – memujuknya, menguruskan proses penyediaan dokumen sumpah, surat perletakan jawatan, menenangkan anak isterinya, hotel persembunyiannya, makan minum dalam persembunyian, membayar ganti rugi kerosakan rumah sewanya, menguruskan makan pakai dan tempat tinggal, sekolah dan keselamatan anak isterinya. Berpuluh ribu belanja untuk itu, semuanya PAS tanggung!

PAS Kedah berhabis beratus ribu pula untuk PRK Bukit Selambau atas kehendak PKR. Habis berpuluh ribu lagi nak jaga baki Adun PKR yang belum melompat…

PAS Kedah terpaksa membayar hutang lama seorang Adun PKR yang telah keluar iklan insolvensi (kebankrapan) di akhbar hampir seratus ribu. MB terpaksa diam saja bila dapat tahu dia telah arahkan GLC beri kebenaran kepada sebuah syarikat pengusaha kuari pasir yang kebetulan melalui tanah milik agensi itu- untuk menampung perbelanjaannya. Ada PKR peduli kesukaran Adun-adunnya ?

Sepanjang waktu-waktu getir, setelah mendapat maklumat tawaran lumayan semakin meningkat untuk mereka melompat menumbangkan kerajaan, saya kerahkan anggota unit keselamatan PAS bertugas 24 jam mengiring dan memantau pergerakan semua ADUN PR Kedah secara senyap dan terbuka. Tugasan ini tidak perlu dilakukan pun jika Adun-Adun PKR tidak membuat honar dan bertemu berunding dengan broker di Kelab Cinta Sayang! Sebulan lebih mereka ke hulu ke hilir meninggalkan keluarga dan kerja, PKR di mana?

PAS terpaksa merangkak untuk mencari dana beratus ribu lagi untuk menjaga bekas Adun yang Anwar arahkan meletak jawatan selepas dia balik dari persembunyian di India, atas janji mereka kepada pengorbanannya.

Uruskan belanja dan keperluan bulanannya sehingga habis penggal, termasuk penyediaan tempat tinggal (rumah) dan hutang piutangnya! Bukan sedikit, beratus ribu! PKR di mana masa itu? Bukanlah dia orang PKR?

Saya tidak bermaksud mengecilkan pengorbanannya, saya salute kesanggupannya, tapi sayang! PKR di semua peringkat telah mengabaikan nasibnya yang telah berkorban untuk partinya. Ada sesiapa dari PKR yang pernah bertanya khabar anak isterinya?

Selama dua bulan lebih dia dalam pelarian atas kehendak PKR di India, anak isterinya tinggal di mana? Kamilah yang menguruskannya!

Pernahkan Rafizi atau Saifuddin atau Anwar ambil sekeluarga India yang anak-anaknya sedang membesar, bapanya hilang entah ke mana, keselamatan tidak terjamin, budaya dan agama jauh berbeza, tinggal serumah, sedapur, sebilik mandi dengan mereka?

Pernahkan penganut hindu yang taat, berada dalam tekanan, dalam serba kepayahan, menempatkan ‘tokong’ dan bersembahyang di ruang tamu rumah Rafizi di depan anak dan isterinya? Saifuddin pernah basuh tilam dan lantai bekas kencing budak kaum India di rumahnya? Peduli pun tidak, apalagi bertanya!

Apa lagi PKR buat untuk Kedah?

Sepanjang sejarah PR jadi kerajaan di Kedah, ada kes tuntutan perjalanan bulanan sorang sorang Exco dari PKR jauh melebihi gaji dan elaunnya… Pegawai-pegawai kerajaan pun terkejut dan mengadu. Elaunnya sekitar RM17 ribu, tuntutan perjalanannya pernah mencecah RM23 ribu! Siapakah yang menutupi keaiban besar ini?

Lima Adun PKR yang asal dan seorang yg menang PRK Bukit Selambau, enam semuanya pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri! Tidakkah ini pelik! Todak bertolak ansurkah PAS dengan PKR dalam hal sebesar ini? Siapakah yang mengizinkan tolak ansur ininkalau bukan Presiden PAS tempat tumpah kesetiaan dan kepatuhan MB Kedah masa itu.

Mungkin tak cukup kerusi Exco, berebut pulak hendakkan senator sampai seorang Ketua Cabang keluar parti sewaktu PRK Bkt Selambau. Mereka menuntut macam-macam keistimewaan untuk diri dan kaumnya yang belum dapat dipenuhi, MP Padang Serai keluar parti. MP yang jarang pedulikan kawasan, tidak pernah turut serta dalam program peringkat kawasan dan negeri, tapi meminta peruntukan itu dan ini, akhirnya melompat jugak…

Adakah Rafizi atau Saifuddin datang bertanya khabar tentang karenah orang-orangnya? Adakah Saifuddin atau Rafizi tampil meminta maaf di atas karenah yang dibuat oleh Adun-adun PKR yang PAS terpaksa tanggung di Kedah? Tak pernah walaupun sekali…!

Belanja program parti PKR pun minta daripada PAS, termasuk belanja kotinjen PKR Kedah ke PRN Sarawak. MB terpaksa secara diam-diam meluluskan kawasan balak kepada PKR melalui satu permohonan sebuah syarikat yang mewakilinya, atas alasan PKR tiada belanja nak uruskan parti. Bila lulus dengan harga yang sama dengan pihak lain (RM16 ribu sehektar), diulang lagi memohon pengurangan harga pula. PAS Kedah tidak pernah mengambil kesempatan jenis ini! PKR tidak malupun untuk mengulang meminta.

Ahli2 Majlis PBT PKR hampir sama ramai dengan PAS walaupun kerusi mereka hanya lima berbanding PAS 16, MKK pun begitu juga… Belum saya ceritakan gelagat ahli majlis PKR yang berniaga dan melindungi perniagaan atas kapasiti mereka di PBT.

Ustaz Azizan terpaksa menebal muka mempertahankan pencalonan Darjah Kebesaran (Dato’) untuk orang-orang besar PKR di hadapan Tuanku Sultan memandangkan belum ada jasa untuk disenaraikan. Hanya ada jawatan dalam parti yang jarang diambil kira oleh pihak istana. Saya boleh senaraikan penerimanya kalau mahu, termasuk yang bercakap pandai itu. Mereka meminta secara direct dan indirect…

Bintang-bintang dan pingat yang lebih kecil tak perlulah di sebutkan. Berebut-rebut dan merajuk kalau tak dapat, marah kalau orangnya tak lekat, mahunya pada pingat dan kebesaran bagai semut menghurung gula!

PKR seperti orang lumpuh daripada leher sampai ke kaki dengan semua karenah ini. Semuanya PAS yang kena jaga, kena bela, kena suap, terpaksa tanggung, terpaksa telan! Tetapi lagak pemimpinnya seperti raja. PAS buat macam-macam untuk menjaga maruah PKR, menjaga maruah kerajaan PR dalam keadaan mereka melompat dan menuntut segala macam…

Dengan karenah yang berbagai-bagai itu, patut saja mereka tidak ikut campur dalam krisis yang dicetuskan oleh seorang Adun PAS dan sekelompok pengikutnya tentang kedudukan MB!

Kalaulah PKR menyamakan situasi di Selangor sekarang sama seperti Kedah, cuba bilang kerusi PAS Selangor hari ini dan kira juga kerusi PKR di Kedah masa itu. Jangan lupa masukkan sekali yang melompat dan membuat onar!

Mengucap permohonan maaf dan terima kasih pun mereka tak mampu, masih ada hati mahu mengungkit mereka tidak campur tangan dalam isu siapa patut jadi MB Kedah masa tu?

Sebenarnya bukan mereka tak mahu ikut campur, tapi mereka lumpuh segala anggota dari banyak sudut untuk bercakap tentang kelayakan! Perlukah saya ceritakan semuanya?

Kekalahan PR Kedah – walaupun ada faktor lain- turut disumbangkan oleh faktor karenah Adun dan MP PKR yang melompat. Ia membangkitkan kebencian dan meluat.

Walaupun menang di kerusi mereka apabila mengemukakan semua muka baru, bekas-bekas Adun yang tidak dicalonkan melepaskan semua jawatan dalam parti. Pengundi melayu yang menyimpan geram dan muat dengan gelagat PKR menghukum calon-calon PR di kawasan-kawasan melayu, PAS lah yang menanggung akibatnya! Ada hati nak mengungkit? Tak malu?

Hari ini tokoh yang mengarahkan PAS Kedah terus bersabar, mengarahkan MB Kedah terus bertolak ansur untuk memelihara kukuh Pakatan Rakyat di Kedah pada waktu lalu sedang diberi kata dua, di suruh menjawab itu dan ini hanya kerana dia menyatakan keputusan partinya. Saya menanggung perit yang tersimpan selama ini hanya kerana susuk ini yang mengarahkan MB meraikan saja kelemahan, menutup kekurangan dan menampung apa yang kurang pada mereka. Itulah dakwah politik kita masa itu. Itulah toleransi Presiden PAS yang dipatuhi oleh Almarhum Ustaz Azizan.

Tak ada sedikit rasa malukah dengan kebaikannya selama ini mengarahkan segala kelemahan dan kekurangan malah kesialan kamu diraikan saja malah ditutup? Bila lemah meruntun bila rasa kuat mula jalannya mendongak!

Muhammad Sanusi Md Nor
Bekas Setpol Ust Azizan

MB SELANGOR : NIK AZIZ SOKONG KHALID

July 27, 2014 1 comment

image

Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk mengulas isu Menteri Besar Selangor memandangkan kita sekarang sedang berada di 10 akhir Ramadhan yang entah sempat atau tidak kita bersua dengan Ramadhan di tahun hadapan. Sewajarnya tempoh terbaik di bulan yang terbaik ini digunakan dengan sepenuh tumpuan untuk kita menggandakan amal ibadat agar dikurniakan ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.

Bagaimanapun, saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Ramadhan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik. Seolah-olah kenyataan Tuan Guru Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan.

Saya membaca kenyaaan Tuan Guru Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau. Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar? Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan. Sudah tentu persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya?

Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan? Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai.

PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini. Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik.

Pesan saya, selesaikan polemik ini dengan baik. Keruh di hulu selesaikan di hulu, jangan biar ia berhilir. Jangan keruh di hulu diheret panjang. Utamakan perbincangan sesama kita agar rakyat tidak bosan mendengar hiruk pikuk pertengkaran suami isteri. Pada saya, ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat.

Wajib diingat, Pakatan Rakyat perlu terus kukuh bertahan dalam medan politik negara. Akar umbi perlu sentiasa segar dengan maklumat agar sikap dan tingkah laku pemimpin difahami dengan jelas. Jika akar rapuh, pohon yang rendang sekalipun tidak akan bertahan lama.

Salam Ramadhan. Teruskan saki baki Ramadhan dengan amal kebajikan.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS

JohorXPress

Real Times, Real News

Kuman Kumin

pabila Kuman Kumin bercerita ...